Assalamualaikum dalam salam sejahtera,
Setelah sekian lama, kini kembali dengan topik iaitu Pendidikan awal kanak-kanak.
Sebagai seorang guru prasekolah, Pendidikan awal kanak-kanak adalah sinonim dengan prasekolah.
Setelah menuntut ilmu di Management Science and University (MSU), Shah Alam dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak telah membuka mata saya bahawa sebagai seorang guru bukan sahaja hanya untuk mengajar, tetapi kita perlu mengenali sikap dan kemahuan kanak-kanak. Ibarat kata-kata seorang pensyarah saya, kanak-kanak itu bukan orang dewasa yang bertubuh kecil. Tetapi mereka adalah bakal membesar menjadi orang dewasa.
Menurut teori Jean Piaget, perkembangan kanak-kanak bermula sejak dari lahir sehingga 13 tahun. Namun untuk pendidikan awal hanya sampai 5-6 tahun. Hal ini disebabkan kanak-kanak yang berumur 7 tahun ke atas telah pun memasuki sekolah aliran perdana di negara kita, Malaysia.
Segala perkembangan diri kanak-kanak itu perlulah dikembangkan secara holistik dan menyeluruh.Perkembangan tersebut ialah perkembangan Jasmani (fizikal), Emosi, Rohani, Intelek, dan Sosial (JERIS).
Hal ini sangat penting supaya kanak-kanak ini akan bersedia dari fizikal dan mental untuk menghadapi dunia yang mencabar pada masa hadapan.
Mengapa saya berminat dengan bidang ini?
Sebagai seorang guru prasekolah, bukan sahaja untuk mengetahui tentang dunia pendidikan awal kanak-kanak tetapi sebagai seorang ibu juga pengetahuan tentang ilmu ini sangat berguna untuk saya mengenali perkembangan anak-anak saya sendiri supaya saya tidak terlalu mengikut emosi jika anak-anak melakukan kesalahan. Disamping itu, saya dapat menggunakan tips untuk murid-murid saya yang juga terdiri daripada kanak-kanak supaya sesi pembelajaran kanak-kanak tersebut lebih menyakinkan dan menyeronokkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan